Pages

Salasilah

Assalamualaikum wbt...
Untuk dikongsi bersama keluargaku yang lain. Beberapa bulan lepas, sempat saya interview ayahanda saya sendiri iaitu Haji Nawawi bin Haji Mokhtar berkaitan sejarah hidup ayah saya ni.

SEJARAH HJ NAWAWI BIN HAJI MOKHTAR

Nama Asal- Mohd Salleh / Wan Abdullah Zawawi (Tukar nama semasa kehadiran Jepun).
Lahir Pada - 30hb Jun 1934
Tempat Lahir - Pekan Kuala Besut, Besut , Terengganu

Salasilah sebelah bapa: Nawawi bin Haji Mokhtar bin Abdullah bin Abdul Majid bin Abdul Salam.

Haji Mokhtar dan Wan Aisyah dikatakan saudara sepupu.

Salasilah sebelah ibu: Nawawi bin Wan Aisyah binti Haji Mohd Noor Al-hafiz bin Tuan Guru Haji Said. Tuan Guru Haji Said dikatakan seorang yang alim dan merupakan penasihat Raja Besut. 

Besut pada ketika itu mempunyai rajanya sendiri yang mana pemerintahannya adalah dalam kawasan Besut sahaja.Dikatakan raja Besut itu adalah dari keturunan anak-anak Raja Terengganu. Daerah Besut dihadiahkan oleh sultan Terengganu ketika itu kepada anaknya untuk ditadbir secara berasingan. 

 Tuan Guru Haji Said dikatakan pernah difitnah menyebabkan raja murka. Beliau dilancar lembing oleh raja, tetapi lembing tersebut tersasar walaupun dilancar dari jarak yang dekat.

Tuan Guru Haji Said berkahwin dengan Wan Maryam binti Wan Husin yang merupakan adik kepada Mufti Perak Pertama iaitu Wan Muhammad bin Wan Husin ( Bukit Chandan, Kuala Kangsar).

Salasilah sebelah ibu: Nawawi bin Wan Aisyah binti Wan Fatimah binti Haji Wan Da bin Mahmud. Haji Wan Da meninggal dunia di Makkah Al- Mukarramah pada tahun 1950 an selepas mengerjakan haji. Kubur di Maala, Mekah. Berasal dari Kampung Losong, Kuala Terengganu.

 

1) Zaman Kanak-kanak Haji Nawawi (Lebih kurang tahun 1935)
      
      Ketika Haji Nawawi berusia lebih kurang setahun, ibu dan ayah ( Wan Aisyah dan Mokhtar) telah berangkat ke Mekah Al-Mukarrah melalui pelabuhan Singapura. Hj Nawawi ditinggalkan di Malaysia (Besut, Terengganu), di bawah jagaan tok wan (nenek) dan tokki (datuk) iaitu Wan Fatimah dan Haji Mohd Noor.

Haji Mohd Noor sebelum ini telah belajar di Mekah selama beberapa tahun di Masjidil Haram dan menghafal Al-Quran di Mekah. Hai Mohd Noor pulang ke Malaysia sebelum pernikahan anak perempuannya iaitu Wan Aisyah. Wan Aisyah telah berkahwin dengan Mokhtar bin Abdullah bin Abdul Majid bin Abdul Salam.

Haji Mohd Noor menghantar anak perempuannya (Wan Aisyah) dan menantunya (Mokhtar) ke Mekah. Mokhtar berkawan dengan tukang emas di Mekah ( turut mencari rezeki dengan bertukang emas dan belajar secara sambilan di Masjidil Haram).

2) Pendidikan Haji Nawawi bin Haji Mokhtar
  
1941-1946  
Memasuki Sekolah Melayu Kuala Besut

1947-1952
Sekolah Rakyat Madrasah Nurul Ittifak, Kuala Besut

1953
Melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Tereangganu dalam Darjah 5.

1954
Menyambung semula pelajaran ke Sekolah Umum Kuala Besut dalam darjah 6.

1955
Setahun lagi berada dalam Darjah 6 untuk mendapat Sijil Pertama.

1956
Melanjutkan pelajaran ke Sekolah Umum Kg. Raja, Besut dalam Darjah 7. Berada di situ kira-kira 2 bulan sahaja kerana memohon jawatan sebagai guru ugama di Sek. Keb Kuala Besut. Pada waktu petang, Haji Nawawi mengajar di sekolah agama petang Kuala Besut sementara di sebelah paginya beliau belajar di Pondok Masjid Jamhuriah, Kuala Besut dengan berguru kepada Almarhum Tuan Guru Hj Muhammad bin Husin dan mengajar di Sekolah Agama Kuala Besut secara sukarela. 
 

No comments:

Post a Comment